Monday, October 17, 2016

Masyhur Dilangit

Alhamdulillah hujung minggu lepas saya dan suami berkesempatan menghadiri satu lagi program anjuran Lajnah Tarbiyyah DPP. Sangat teruja kerana telah lama saya rindukan program tarbiyyah semeriah ini. Sangat ramai insan soleh solehah yang turut hadir menadah ilmu di sini. Terasa begitu membara semangat perjuangan tatkala melihat bendera-bendera Islam berkibaran di segenap kawasan.

Belum lagi apabila laungan takbir setiap peserta ijtima' bergema menyambut kedatangan pimpinan-pimpinan terhormat. Berdiri bulu roma, terasa meresap ruh-ruh kesolehan dalam diri segera ingin sujud kepada Allah Rabul Jalil. Terima kasih atas nikmat iman, islam dan perjuangan yang dirasai. Sangat bertuah dapat menadah ilmu mengutip mutiara-mutiara berharga dari insan-insan soleh ini.

Apabile melihat sosok tubuh mereka, mendengar  baris-baris kata mereka, tergambar dalam minda akan kekaguman yang tidak terperi. Pada saya mereka bukan insan biasa yang hanya berkuliah disana sini. Mereka adalah insan-insan yang gagah berhadapan dengan masyarakat pelbagai lapisan, memberi penerangan kebenaran demi kebenaran dan menjelaskan kekaburan dan kekeliruan terhadap Islam yang semakin meruncing di tanah air ini terutama dalam hal siasah dan pentadbiran.

Apapun setiap dari kita ada pandangan dan persepsi masing-masing. Ada yang menerima, ada yang menolak uslub yang dibawa oleh mereka. Apa-apa hujah dan pandangan sekalipun itu adalah terpulang kepada individu. Selagi tidak lari dari asas dan dasar agama islam iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qias selagi itu kita tak usah berkelahi. Hormati perbezaan dan raikan persamaan. Yang paling penting adalah untuk melihat Islam tertegak dimuka bumi ini.



Tidak lupa juga Melaka sebagai tuan rumah. Satu pencapaian yang baik. Pada amatan saya infrastruktur yang sebaiknya telah disediakan. Tempat yang menarik, selesa dan yang penting tersusun dan bersih. Saya anak Melaka tumpang bangga.


Gambar sekitar Malam Pidato Perdana Ijtima'

Si kecik pun sibuk berlari-larian di tengah dewan.
Share:

0 comments:

Post a Comment